Saturday, January 8, 2011

SEJARAH KALIGRAFI

KALIGRAFI pada asalnya adalah perkataan yang merujuk kepada tulisan tangan yang cantik yang dihasilkan oleh penulis khat. Perkataan kaligrafi berasal dari gabungan dua perkataan Greek iaitu kallos yang bermaksud cantik dan graph yang bermaksud tulisan.
Pada waktu dahulu tulisan merujuk kepada tulisan yang ditulis ...dengan tangan tetapi selepas teknik cetakan diperkenalkan sekitar abad ke 15 dan berkembang dalam pelbagai teknik cetakan terkini, kaligrafi juga turut dihasilkan dengan perisian komputer.
Kaligrafi yang merupakan salah satu cabang dalam bidang seni visual tidak terikat kepada satu budaya dan bangsa sahaja. Pengetahuan dan kemahiran menulis amat dipandang tinggi di dalam sejarah, apatah lagi kebolehan menghasilkan kaligrafi.
Karya kaligrafi dijadikan satu warisan seni yang amat berharga bukan hanya kerana tulisan malah dari segi pemilihan perkataan dan komposisi yang digunakan. Ini melambangkan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh penulis yang menghasilkan karya.
Dalam Islam, sejarah perkembangan tulisan kaligrafi adalah selari dengan perkembangan penyebaran Islam keluar dari Madinah. Sebagai contoh, tulisan kaligrafi pertama yang dihasilkan berasal dari Kufah iaitu sebuah bandar yang terletak di Iraq.
Tulisan ini diberi nama sempena dengan bandar Kufah iaitu kaligrafi kufik. Tulisan kufik mempunyai bentuk tulisan yang statik dan bersudut. Tulisan kufik yang asal tidak mempunyai titik huruf dan tidak bersambung dan sesetengah huruf.
Gaya kaligrafi kufik ini oleh dilihat di atas helaian al-Quran awal yang dihasilkan dalam abad ke 8 atau 9 Masihi.
Gaya ini kemudiannya diperkemaskan lagi dengan pengenalan titik huruf dan seterusnya mempunyai gaya hybrid daripada yang asal dikenali sebagai kufik berbunga kerana di bahagian hujung huruf yang akhir mempunyai corak bunga atau sulur daun.
Gaya tulisan ini banyak digunakan untuk tulisan pada seni bina Islam. Satu lagi jenis tulisan kufik yang telah mula popular semula pada hari ini ialah kufik segi empat.
Kesemua perkataan yang ditulis menggunakan gaya ini akan ditulis dalam urutan tetapi diolah dalam bentuk segi empat.
Iran adalah salah sebuah lagi wilayah Islam yang amat banyak menyumbang kepada gaya penulisan kaligrafi Islam yang kekal sehingga ke hari ini. Antaranya ialah gaya kaligrafi nasta'liq dan ta'liq.
Ta'liq bermaksud tulisan ringkas atas pada hari ini ia lebih dikenali sebagai trengkas. Nasta'liq pula ialah gaya tulisan yang dihasilkan daripada gabungan tulisan naskh (tulisan yang selalunya digunakan bagi penulisan al-Quran) dan tulisan ringkas ta'liq.
Jenis penulisan kaligrafi ini boleh dilihat di atas sijil perkahwinan atau kontrak perkahwinan yang digunakan di Iran. Gaya kaligrafi ini juga turut digunakan dengan meluas dalam penghasilan manuskrip di India sewaktu pemerintahan Empayar Islam Mughal dan di Asia Tengah sewaktu pemerintahan Empayar Islam Timur.
Turki turut menyumbang penambahan bilangan gaya penulisan kaligrafi Islam.
Kaligrafi yang paling indah yang dihasilkan di Turki sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Islam Uthmaniah adalah tulisan diwani. Tulisan ini juga dikenali sebagai tulisan istana kerana hampir kesemua dokumen rasmi istana menggunakan gaya penulisan ini seperti surat dan dekri diraja terutamanya sewaktu zaman pemerintahan Sultan Sulaiman I yang memerintah Empayar Uthmaniah dari tahun 1522 - 1566 Masihi bersamaan tahun 928 - 973 Hijrah.
Satu lagi gaya kaligrafi yang dihasilkan sewaktu zaman Uthmaniah adalah tughra. Tughra adalah gaya kaligrafi yang digunakan khusus untuk tandatangan sultan yang memerintah Empayar Uthmaniah. Tughra sering diletakkan sebagai kepala surat atau dokumen rasmi Empayar Uthmaniah.

No comments:

Post a Comment